Amalan Agama Hinduisme

Ritual

Dari mula hingga akhir, ritual Hindu adalah bertujuan untuk menyucikan hati dan pemikiran manusia. Nampaknya, ritual-ritual ini tidak ada tujuan lain.

Sejak zaman Atharva Veda dan kemudiannya dalam Tantra, memang wujud beberapa upacara sihir. Upacara-upacara amal ini adalah untuk memusnahkan musuh seseorang, untuk mencapai sesuatu benda, untuk menyembuhkan sesuatu penyakit atau untuk mengelakkan nasib buruk. Selagi kitab-kitab suci membenarkan sesuatu perkara, upacara-upacara ritual ini yang diamalkan oleh pengikut-pengikut Pravritti Marga tidak membahayakan. Mungkin seorang musuh sosial perlu dihapuskan demi ketenteraman awam. Dalam keadaan begini, kerohanian orang yang mengamalkan ilmu sihir tidak akan terjejas. Namun, orang-orang yang lemah dan tidak suci, kemungkinan akan menyalahgunakan ilmu ini. Mereka mungkin akan menggunakan ilmu sihir untuk memuaskan nafsu yang keji dan kepentingan diri sendiri. Dalam keadaan begini, kemungkinan kerohanian akan terjejas.

Selain daripada ini, semua ritual lain adalah baik untuk kerohanian. Ritual-ritual ini menyucikan hati dan minda seseorang, dan ini adalah satu langkah penting dalam mencapai kesedaran Tuhan.

Punca utama semua ketidaksucian adalah kejahilan tentang sifat ketuhanan kita. Apa-apa sahaja yang dapat mengurangkan kejahilan ini akan menyucikan jiwa kita. Meditasi ke atas Tuhan dan ketuhanan jiwa itu akan menghapuskan kejahilan. Penggunaan imej (pratima) dan simbol (pratika) untuk menggambarkan Tuhan dapat membantu meditasi. Ketika bersembahyang menggunakan imej atau simbol, seseorang pasti berfikir tentang Tuhan. Pemikiran tentang Tuhan merupakan kaedah yang efektif untuk menyucikan minda. Ini dapat dilakukan dengan mudah dengan merasakan kewujudan Tuhan dalam imej dan simbol.

Proses menghidupkan imej (prana-pratishtha) dengan jelas menunjukkan bagaimana ritual dapat membantu asimilasi idea ketuhanan jiwa secara beransur-ansur. Pemuja harus berfikir bahawa Tuhan muncul dalam sesuatu rupa bercahaya dari jiwanya sendiri dan menduduki hatinya. Kemudian dari hati, Tuhan keluar dengan nafasnya dan duduk di atas sekuntum bunga. Seterusnya dari bunga, Tuhan menduduki imej atau simbol-Nya. Demikian, imej itu dikatakan ‘hidup’. Golongan intelektual mungkin memandang ini sebagai sesuatu perbuatan kebudak-budakan. Namun, kaedah ini amat efektif seperti mana tadika untuk mendidik kanak-kanak. Kebanyakan golongan intelektual juga perlu melalui tadika ini kerana perkembangan kerohanian mereka masih berada pada tahap rendah. Dengan mengulangi proses ini berkali-kali, seseorang akan menyedari sifat ketuhanannya sendiri.   

Dalam zaman moden, bhakti atau cinta kepada Tuhan dan kepercayaan lebih diberikan keutamaan. Benih bhakti telah ditanam di dalam upacara-upacara ritual sejak zaman Veda lagi. Kemudiannya idea ini diperkembangkan dalam zaman Agamas dan Purana.   

Penyembahan berhala

Masyarakat barat sering memandang masyarakat Hindu sebagai penyembah patung-patung. Ini sebenarnya tidak benar sama sekali. Masyarakat Hindu menyembah Tuhan dalam bentuk tertentu seperti imej berhala. Imej-imej seperti patung dan gambar ialah hanya pelbagai simbol-simbol keagungan dan kesaktian Tuhan. Dengan menggunakan simbol-simbol yang konkrit, orang Hindu cuba untuk berhubung dengan Tuhan atau Ishvara yang sukar difahami. Sama seperti sebuah foto seseorang ialah cuma gambaran orang itu dan bukannya orang itu sebenarnya, begitu juga dengan berhala Tuhan. Berhala hanya membantu seseorang Hindu untuk mengingati tentang kesaktian Tuhan. Berhala menjadi perantara Tuhan dan pemuja-Nya. Semasa bersembahyang, jika seseorang dapat mengingati Tuhan dan merasakan kehadiran-Nya dalam dirinya sendiri, sembahyangnya berakhir. Selepas itu, berhala tidak diperlukan lagi. Inilah sebabnya, orang Hindu sering meninggalkan berhala selepas bersembahyang dan melarutkannya dalam kolam atau sungai.

Nirguna Brahman (Realiti Mutlak) tidak mempunyai rupa. Sekiranya begitu, mengapakah agama Hindu menyediakan pelbagai bentuk penyembahan ritual? Persoalan ini telah dibangkitkan di Vishnu Dharmottara Purana oleh Vajra begini:

“Tuhan Maha Agung telah dihuraikan sebagai tiada rupa, tiada bau atau emosi, dan tanpa bunyi atau rasa sentuhan. Jadi macam manakah imej-imej ini boleh diperbuat?”

Markandeya menjawab: “Prakrti dan Vikrti wujud menerusi variasi dalam rupa Paramatman (Tuhan). Prakrti adalah rupa Tuhan yang tidak boleh dilihat. Seluruh alam semesta ini adalah Vikrti iaitu rupa Tuhan yang dapat dilihat. Penyembahan dan meditasi ke atas Tuhan Maha Esa dapat dilakukan hanya apabila Tuhan mempunyai rupa.Sebaik-baiknya, Tuhan disembah tanpa sebarang rupa.[22]

Ikonografi atau Seni Membuat Ikon

Seni ikonografi dalam Hinduisme dikenali sebagai 'Mūrtiśilpa Śastra'. Seni ini telah wujud sejak zaman Veda. Dalam Rig Veda (8.29), misalnya, deskripsi terperinci diberikan mengenai setiap anggota tubuh, dan senjata-senjata dewa-dewi dan Tvaṣṭā disebut sebagai Devaśilpi (pembuat patung dewa). Kāṭhaka Samhita (1.9.5) menyebut tentang Rishi Devala yang menjadi tukang membuat berhala.

Selain berhala dewa-dewi, ikon-ikon dan simbol-simbol lain seperti Sivalinga, Sri Chakra, pelbagai Yantra, dan Kumbha juga digunakan untuk pemujaan.

Hasil-hasil Penulisan

Terdapat pelbagai karya yang dihasilkan mengenai 'Mūrtiśilpa Śastra', seperti:

  • Bodhāyana Gṛhyasūtras
  • Bṛhatsamhitā
  • Mānasāra
  • Kāraṇāgama
  • Mayamata
  • Śilparatna
  • Śilpasangraha
  • Śilpasāra
  • Śukranītisāra
  • Suprabhedāgama
  • Vaikhānasāgama
  • Viṣhṇudharmottara Purāṇa

Bahan-bahan untuk Membuat Arca

Pelbagai jenis bahan digunakan untuk membentuk berhala, seperti tanah liat, batu, kayu, logam dan aloi. Kebiasaannya, bahan-bahan yang murah digunakan untuk berhala sementara yang akan dilarutkan dalam air. Sebaliknya, bagi berhala-berhala di kuil, bahan-bahan yang lebih mahal dan tahan lama digunakan.

Arca yang dibina secara tetap di kuil dipanggil sebagai 'Acala' atau 'Dhruvabera' dan ia diperbuat daripada batu seperti granit dan batu marmar. Arca yang sering dibawa keluar iaitu 'Utsava Mūrti' atau imej yang dipuja di rumah pula diperbuat daripada logam, batu permata, kayu dan tanah liat. Arca logam yang diperbuat daripada perak, emas, atau pañcaloha (lima jenis logam) adalah amat popular. Arca yang diperbuat daripada kayu digunakan hanya di dua buah kuil iaitu di kuil Jagannatha di Puri, Orissa dan di kuil Trivikrama di Tirukkoilur, Tamil Nadu.

Imej-imej Dhruvabera

Imej-imej tetap di kuil dinamakan sebagai 'Acala' atau 'Dhruvabera'. Terdapat tiga jenis imej Acala ini iaitu: sthānaka (kedudukan berdiri), āsīna (kedudukan duduk) dan śayāna (kedudukan berbaring). Kebanyakan arca-arca yang disembah di kuil biasanya berada dalam kategori Sthānaka atau berdiri. Banyak imej-imej Dewi, Ganapati dan Narasimha biasanya berada dalam kedudukan duduk. Hanya arca-arca Maha Vishnu, seperti Padmanabha dan Ranganatha berada dalam keadaan berbaring.

Menurut suatu klasifikasi lain, terdapat dua jenis 'Dhruvabera iaitu ugra (ganas) dan śānta (tenang). Beberapa aspek Dewi seperti Kali, Narasimha, Parasurama, dan Gajaha (Siva) berada dalam aspek ugra. Kuil-kuil dengan arca yang ganas biasanya dibina di luar bandar atau kampung. Semua imej lain yang tidak termasuk dalam kategori ugra boleh disifatkan sebagai śānta.

Upacara korban

Pelbagai upacara korban yang melibatkan persembahan kepada dewi-dewi telah diberikan dalam semua empat Veda. Namun, dengan peredaran masa, tradisi ini hilang kepentingannya disebabkan gerakan-gerakan pembaharuan oleh para pertapa zaman Upanishad, Jainisme dan Buddhisme. Sebaliknya, suatu bentuk upacara korban haiwan yang baru mula menular ke dalam masyarakat Hindu apabila budaya orang asli diserap masuk. Kebiasaannya, hanya Dewi Durga atau Kali yang dipersembahkan dengan daging secara ritual. Kerbau, kambing, kambing biri-biri, dan ayam jantan biasanya dikorbankan secara ritual. Menurut kepercayaan, haiwan yang dikorbankan akan memasuki syurga.

Dalam beberapa bentuk penyembahan, khususnya yang dipengaruhi oleh Tantra, upacara korban kadang-kala dibenarkan. Kebanyakan orang, bergantung kepada ayat-ayat suci, "Jangan lakukan keganasan terhadap sebarang kehidupan," (Na himsyāt sarvabhūtāni)[23] meragui bagaimana agama Hindu membenarkan upacara korban. Menurut agama Hindu, semua hidupan, bukan sahaja haiwan, adalah suci. Oleh itu, keganasan dicemuh oleh Hinduisme. Malah, semua makanan juga dianggap tidak suci kerana secara langsung atau tidak langsung ia melibatkan keganasan. Misalnya, nasi dan gandum juga ialah benda-benda yang bernyawa. Begitu juga, semua jenis makanan, sama ada tumbuh-tumbuhan atau binatang. Perbuatan memakan juga satu bentuk keganasan terhadap hidupan lain. Malah, madu dicuri dengan memusnahkan sarang lebah. Atas sebab ini, orang Hindu dikehendaki mempersembahkan apa-apa sahaja kepada Tuhan sebelum memakannya. Perbuatan persembahan ini, sama ada secara mental atau ritual, akan menyucikan makanan itu.

Menurut Hinduisme, apa-apa makanan yang dipersembahkan kepada Tuhan dengan iman dan cinta akan dirahmati oleh Tuhan. Makanan itu menjadi suci. Seorang Hindu dikehendaki untuk makan hanya makanan yang dipersembahkan kepada Tuhan demi kepentingan fizikal dan rohaninya.

Dalam zaman purba, kebanyakan masyarakat Indo-Aryan memakan daging dengan beberapa syarat tertentu.[24] Hanya binatang-binatang tertentu boleh dimakan selepas dipersembahkan kepada Tuhan, Daging yang tidak dipersembahkan kepada Tuhan (dikenali sebagai vrithā mānsa) dianggap tidak sesuai untuk dimakan. Dengan cara ini, penyembelihan binatang untuk tujuan pemakanan dikawal. Tambahan pula, upacara korban binatang yang dilakukan di hadapan Tuhan dianggap secara simbolik sebagai memusnahkan sifat kehaiwanan dalam manusia dan membantu perkembangan manusia ke suatu tahap yang mulia.

Namun, harus ditekankan di sini bahawa meskipun agama Hindu membenarkan upacara korban binatang, perbuatan ini tidak digalakkan. Malah, kitab-kitab Tantra juga membenarkan upacara korban secara simbolik dengan menggunakan buah labu, labu air atau buah-buahan lain sebagai ganti.

Pada hari ini, masyarakat Hindu jarang melakukan upacara korban binatang. Kebanyakan masyarakat Hindu mengamalkan pemakanan vegetarian. Segelintir orang Hindu yang masih memakan daging pula membelinya dari pasar.

Lawatan Suci (Yatra)

Tīrthayātrā atau lawatan ke tempat-tempat suci memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang Hindu walaupun ia tidak diwajibkan. Tempat-tempat suci dapat meningkatkan tahap kesucian dan kerohanian seseorang. Benua India penuh dengan tempat-tempat suci, dari Amarnath di utara India hingga Rameswaram di selatan, dan dari Somnath di barat hingga Puri di Timur. Malah boleh dikatakan bahawa agama Hindu mempunyai lebih banyak tempat-tempat suci berbanding semua agama lain. Tempat-tempat ini amat purba dan berkaitan dengan orang-orang alim dalam zaman purba. Selain itu terdapat tempat-tempat lain yang berkaitan dengan orang-orang alim dan pemimpin-pemimpin agama daripada pelbagai zaman. Sering kali, tempat-tempat suci ini terletak di kawasan yang penuh dengan keindahan semulajadi seperti gunung-ganang, lembah-lembah, tepi-tepi sungai, pulau-pulau, hutan belantara, pantai-pantai dan seumpamanya yang amat sesuai untuk renungan dan ketenangan.

Menurut, Matsya Purana (184.66-67), lawatan suci boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa batasan kasta, darjat atau keadaan. Namun, terdapat beberapa hukum yang perlu dipatuhi oleh seseorang yang ingin menjalankan lawatan suci. Misalnya, seorang brahmachari yang tinggal di rumah gurunya perlu mendapatkan kebenaran guru terlebih dahulu. Seseorang yang telah berkahwin wajib melakukan lawatan suci bersama-sama pasangannya, dan sekiranya gagal, dia tidak akan mendapat hasil pahala melakukan lawatan suci.

Kitab-kitab Suci

Subjek lawatan suci telah dibincangkan dalam pelbagai kitab suci. Terdapat lebih 400,000 ayat-ayat dalam Mahabharata dan purana-purana lain mengenai lawatan suci. Selain itu, terdapat beberapa buah buku lain yang menyentuh tentang subjek ini seperti:

  • Krtya Kalpataru oleh Lakshmidhara (kurun ke-12 Masihi)
  • Caturvargacintamani oleh Hemadri (kurun ke-13 Masihi)
  • Tirthacintamani oleh Vachaspati (kurun ke-15 Masihi)
  • Tirthasara oleh Dalapati (1490 Masihi)
  • Tristhalisetu oleh Narayanabhatta (1570 Masihi)

Selain ini terdapat juga beberapa karya khususnya tentang sesuatu tempat tertentu seperti Gaya dan Puri.

Tujuan Lawatan Suci

Perkataan 'Tīrtha' bermaksud 'Tīryate anena iti tīrthaṁ, saṁsārasāgarataraṇopāya-bhūtaṁ', 'sesuatu yang merentasi, sesuatu yang membantu merentasi samudera kehidupan semula' ialah Tīrtha. Maka, dengan menjalani lawatan suci, seseorang dapat merentasi samsara atau kitaran kelahiran semula dan mencapai kesempurnaan.

Menurut Vishnu Dharma Sukta (2.16, 17), lawatan suci ialah salah satu Samanyadharma (kewajiban umum untuk semua orang). Seseorang yang menjalani lawatan suci akan mendapat banyak pahala, dosanya akan dihapuskan dan hatinya menjadi suci.

Misalnya Rig Veda (10.75 khila) menyebut tentang kesucian pertemuan sungai Ganga dan Yamuna. Seseorang yang bermandi di pertemuan sungai-sungai ini akan mencapai syurga. Seseorang yang mati di sini akan mencapai keabadian.

Keindahan tempat-tempat suci juga amat merangsangkan meditasi dan renungan. Tempat-tempat ini juga kaya dengan sejarah dan memori orang-orang alim yang telah melawatnya. Oleh itu, aliran kerohanian ("spiritual current") amat padat di tempat-tempat suci ini.

Syarat-syarat

Terdapat beberapa syarat-syarat yang perlu diikuti sebelum melakukan lawatan suci. Kehidupan yang bermoral ialah syarat penting yang perlu diikuti dan tanpanya, lawatan suci tidak bermakna. Menurut Vayu Purana (77.125) seorang yang melanggari rukun-rukun agama dan Dharma yang menjalani lawatan suci dengan kepercayaan, menyesali perbuatan dosanya, dan bertekad untuk meninggalkan dosa dan kejahatan, akan mendapat faedah daripada lawatan suci.

Lawatan suci tidak wajib untuk seseorang yang menjalani kehidupan yang alim dan suci. Namun, dia akan dapat meningkatkan tahap kerohaniannya dengan melakukan lawatan suci. Amalan seperti jñāna (ilmu agama), kṣama (sifat memaafkan orang lain), dayā (belas kasihan), dan dama (kawalan diri sendiri) juga dipanggil sebagai 'Tīrtha' kerana semua perbuatan ini juga menyucikan hati dan minda seseorang. Selain itu, orang-orang alim juga dianggap sebagai Tīrtha kerana pergaulan dengan mereka akan menyucikan hati dan minda seseorang.

Prosedur untuk Diikuti

Purana dan Dharmasastra telah menggariskan beberapa langkah yang perlu diikuti ketika melakukan lawatan suci.

Pada hari sebelum lawatan, seseorang perlu berpuasa. Sebelum bertolak, seseorang perlu menyembah Dewa keluarganya, Ganapati, dan Navagraha, dan memberikan hadiah kepada orang-orang miskin, memakai pakaian jingga atau kuning, mengambil Sankalpa (tekad agama) seperti yang dinyatakan oleh kitab-kitab suci dan meninggalkan semua kekayaan. Ketika lawatan suci, seseorang perlu menjalani kehidupan yang sederhana dan memakan sayur-sayuran yang sederhana. Selepas menyempurnakan lawatan suci dan kembali ke rumahnya, seseorang perlu mengulangi pemujaan di rumahnya, dan memberikan hadiah kepada orang-orang miskin sebagai tanda bersyukur.

Dalam zaman moden ini, seseorang boleh memulakan dan menamatkan lawatan sucinya dengan bersembahyang di rumahnya sendiri atau di kuil berdekatan dan mendapatkan restu orang tuanya.

Seseorang yang melakukan lawatan suci juga perlu mengambil tahu dan mengikuti prosedur-prosedur yang khusus untuk sesuatu tempat suci.

Tīrtha yang Popular

Tempat-tempat suci yang popular boleh dikelaskan seperti ini:

  • Bandar-bandar purba yang disebut dalam Purana seperti Varanasi (Kashi), Allahabad (Prayag), Haridwar, Rishikesh, Mathura, Vrindavan, dan Ayodhya.
  • Char Dham (Empat Tempat Suci yang terkenal): Bandar Puri, Rameswaram, Dwarka,dan Badrinath (atau kadang-kadang Badrinath, Kedarnath, Gangotri, dan Yamunotri)
  • Kumbha Mela: perayaan Kumbha Mela ialah salah satu perayaan Hindu yang amat popular. Perayaan ini diadakan setiap dua belas tahun dan menarik jutaan penganut Hindu. Lokasi Kumbha Mela bersilih ganti antara Allahabad, Haridwar, Nashik, dan Ujjain.
  • Bandar-Bandar Kuil Besar: Puri iaitu bandar kuil Jagannath dan perayaan Ratha Yatra; Katra, kuil Vaishno Devi; Madurai, kuil Meenakshi Amman; Tirumala - Tirupati, kuil Tirumala Venkateswara; dan Sabarimala, kuil Swami Ayyappan.
  • Shakti Peetha: tempat suci yang berkaitan dengan Shakti Peethas, di mana Dewi Shakti disembah. Antara Shakti Peethas yang popular ialah Kalighat (di Kolkata) and Kamakhya.

Mantera-mantera

Santhi Mantra

Doa untuk ketenangan dan keamanan dikenali sebagai mantera Santhi. Biasanya, mantera-mantera ini dibacakan pada awal dan akhir upacara ritual atau perbincangan agama.

Mantera-mantera ini terkandung dalam beberapa Upanishad. Tujuan bacaan mantera ini ialah untuk menenangkan pembaca, pendengar dan persekitaran. Mantera-mantera ini mempunyai kesaktian untuk menghapuskan segala halangan dalam kerja atau aktiviti yang hendak dilakukan.

Mantera Shanti biasanya berakhir dengan tiga kali ucapan “Shanti” bermaksud “Ketenangan”. Tujuan mengucapnya tiga kali ialah untuk menenangkan dan menghapuskan segala halangan dalam tiga alam iaitu:

  • ·        Adhi-Bhautika iaitu persekitaran fizikal
  • ·        Adhi-Daivika iaitu alam makhluk halus dan
  • ·        Adhyaatmika iaitu badan dan minda seseorang

Menurut kitab-kitab suci Hindu, sumber halangan dan masalah wujud dari tiga perkara ini.

  • ·        Adhi-Bhautika iaitu persekitaran fizikal boleh membawa masalah atau halangan seperti binatang liar, orang jahat, bencana alam dsb.
  • ·        Adhi-Daivika iaitu alam makhluk halus seperti roh, hantu, dewa-dewi dsb.
  • ·        Adhyaatmika iaitu badan dan minda seseorang sendiri boleh menjadi penghalang contohnya dalam keadaan kesakitan, keuzuran, kemalasan, kurang perhatian dsb.

Tiga perkara-perkara ini dikenali sebagai ‘Tapa-Traya’ atau tiga kelas masalah. Dengan membacakan doa mantera Shanthi, halangan dan masalah daripada tiga perkara ini dapat diatasi.